Semalam aku [abu zahrah] bersembang di warung kopi dengan seorang kenalan yang aku kenali dari sebuah forum di internet. Kebetulan beliau tinggal berhampiran dengan rumahku. Dalam perbualan tersebut beliau meminta aku untuk menulis mengenai seorang ulama yang bernama Sayyid Ahmad Zaini Dahlan [gambar sebelah]. Katanya beliau mengetahui nama ulama ini melalui penulisan yang dibaca sahaja, terutama apabila menyentuh pertembungan antara kaum Ahlus Sunnah wal Jamaah dengan Wahabi, tetapi tidak mengenali siapakah sebenarnya ulama ini. Aku sekadar mendiamkan diri, tak berani janji takut tidak terkotakan. Maka bila kembali kerumah aku cuba mencari bahan mengenai ulama tersohor ini, demi untuk tidak menghampakan kenalan baruku itu. Tulisan ini sebagai hadiah untuk beliau walaupun agak sukar bagiku. Namun aku bersyukur sahabatku Ustaz Abu Muhammad, rupanya telah menulis mengenai ulama ini sebelumnya diblog beliau Bahrus Shofa. Alhamdulillah, memudahkan aku. Lalu aku kumpul dan susun semula tulisan tersebut dengan sedikit penambahan. [Sidi Abu Muhammad .. izinkan hamba ya] Semoga ianya memberi manfaat kepada para pembaca.
Di kalangan penuntut ilmu dipondok atau pesantren, nama Sayyid Ahmad Zaini Dahlan sudah tidak asing lagi. Namanya harum dan masyhur dikalangan mereka kerana sebahagian besar daripada sanad keilmuan para ulama Nusantara (Malaysia, Indonesia dan Fathoni) bersambung kepada ulama besar ini. Dan di kalangan para ulama ianya sangat terkenal sebagai ulama seorang pembela Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam pertembungan dengan Wahabi. Ulama besar ini amat dimusuhi oleh puak Wahabi atau kaum muda[h]. Maka banyak fitnah yang ditaburkan terhadap ulama besar ini agar orang-orang yang jahil macam kita menjauhinya.
Ulama besar inilah yang telah memberi perlindungan kepada Syaikh Rahmatullah bin Khalilurrahman al-Kiranawi al-Hindi al-Utsmani (lahir 1226H/1811M, riwayat lain lahir Jumadil Awwal 1233H/9 Mac 1818M, wafat malam Jumaat, 22 Ramadan 1308H/2 Mei 1891M) ketika diburu oleh penjajah British bahkan memperkenalkan kepada pemerintah Makkah. Seterusnya memberi laluan untuk Syeikh Rahmatullah membuka Madrasah Shaulatiyah.
Sayyid Ahmad Zaini Dahlan adalah merupakan seorang Syeikhul Islam, Mufti Haramain dan Pembela Ahlus Sunnah Wal Jama`ah. Berasal dari titihan yang mulia, ahlul bait Rasulullah melalui susur-galur Sayyiduna Hasan, cucu kesayangan Rasulullah. Berdasarkan kepada kitab “Taajul-A’raas”, juzuk 2, mukasurat 702 karya al-Imam al-’Allaamah al-Bahr al-Fahhamah al-Habib ‘Ali bin Husain bin Muhammad bin Husain bin Ja’faar al-’Aththaas. Nasabnya adalah seperti berikut:-
Al-Imam al-Ajal wal-Bahrul Akmal Faridu ‘Ashrihi wa Aawaanihi Syeikhul-Ilm wa Haamilu liwaaihi wa Hafidzu Haditsin Nabi s.a.w. wa Kawakibu Sama-ihi, Ka’batul Muriidin wa Murabbis Saalikiin asy-Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan bin Ahmad Dahlan bin ‘Utsman Dahlan bin Ni’matUllah bin ‘Abdur Rahman bin Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Utsman bin ‘Athoya bin Faaris bin Musthofa bin Muhammad bin Ahmad bin Zaini bin Qaadir bin ‘Abdul Wahhaab bin Muhammad bin ‘Abdur Razzaaq bin ‘Ali bin Ahmad bin Ahmad (Mutsanna) bin Muhammad bin Zakariyya bin Yahya bin Muhammad bin Abi ‘Abdillah bin al-Hasan bin Sayyidina ‘Abdul Qaadir al-Jilani, Sulthanul Awliya` bin Abi Sholeh Musa bin Janki Dausat Haq bin Yahya az-Zaahid bin Muhammad bin Daud bin Muusa al-Juun bin ‘Abdullah al-Mahd bin al-Hasan al-Mutsanna bin al-Hasan as-Sibth bin Sayyidinal-Imam ‘Ali & Sayyidatina Fathimah al-Batuul.
Menurut riwayat, Sayyid Ahmad Zaini Dahlan lahir di Makkah pada 1232H/1816M. Selesai menimba ilmu di kota kelahirannya, ia lantas dilantik menjadi mufti Mazhab Syafi‘i, merangkap Syeikh al-Haram iaitu “pangkat” ulama tertinggi yang mengajar di Masjid al-Haram yang diangkat oleh Syeikh al-Islam yang berkedudukan di Istanbul, Turki.
Beliau sangat masyhur, dan daripada kemasyhuran inilah maka beliau diberi pelbagai gelaran dan julukan antaranya al-Imam al-Ajal (Imam pada waktunya), Bahrul Akmal (Lautan Kesempurnaan), Faridu ‘Ashrihi wa Aawaanihi (Ketunggalan masa dan waktunya), Syeikhul-Ilm wa Haamilu liwaaihi (Syeikh Ilmu dan Pembawa benderanya) Hafidzu Haditsin Nabi - Shallalahu ‘Alaihi wa Sallam - wa Kawakibu Sama-ihi (Penghafal Hadits Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam dan Bintang-bintang langitnya), Ka’batul Muriidin wa Murabbis Saalikiin (Tumpuan para murid dan Pendidik para salik).
